Monday, 1 December 2014


Pada kali ini, dalam ruangan saya ini saya akan berkongsi mengenai kaum jawa di Malaysia.

PENDAHULUAN
Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai rakyat  berbilang kaum dan etnik. Terdapat tiga kaum terbesar di Malaysia iaitu Melayu, Cina dan India. Di dalam kelompok kaum tersebut terdapat pelbagai pecahan etnik yang sudah semestinya mempunyai pelbagai budaya, bahasa, kepercayaan dan adat resam yang tersendiri.
Dalam tugasan ini, saya memilih etnik Jawa kerana ayah dan ibu saya berketurunan Jawa Ponorogo. Tugasan ini membicarakan  etnik Jawa meliputi aspek bangsa,struktur masyarakat, bahasa, kepercayaan, adat resam dan jantina.
Semua penduduk yang tinggal di kampung saya iaitu Parit Sikon Darat, Parit Raja , Batu Pahat berketurunan Jawa. Sebahagian besar mereka  merupakan Jawa Ponorogo manakala selainnya Jawa Megelan. Mereka bekerja sebagai pekebun kelapa sawit , bertukang dan ada juga yang bekerja di kilang industri.
Sehingga kini kami masih menggunakan bahasa Jawa sebagai bahasa perhubungan.  Selain mempunyai masakan Jawa yang menjadi kebanggaan seperti “sambel godok” dan “pecel leley”, kami juga mengamalkan adat resam serta kebudayaan tersendiri. Ianya menjadikan keturunan kami unik dan istimewa.
Kerukunan hidup bermasyarakat menjadikan kampung tempat tinggal kami aman, damai dan ceria. Berkat kerjasama dan hidup bermuafakat, kampung kami pernah dicalonkan sebagai penerima anugerah Kampung Terindah Desa Wawasan peringkat negeri.
Kami  bangga menjadi anak Jawa dan sentiasa berusaha untuk mengekalkan identiti agar tidak hilang ditelan zaman.

“Tak Kan Jawa Hilang Di Dunia”



Pengenalan Bangsa Jawa
Orang Jawa dari segi zahirnya, berkulit sawo matang, berbadan sederhana besar serta tegap dan selalu berlemah lembut serta berbudi bahasa. Etnik Jawa merupakan sebahagian daripada kelompok Melayu yang terdapat di Malaysia dan sudah lama bertapak di sini.
Pada masa ini, penempatan orang Jawa tertumpu di bahagian barat Semenanjung Malaysia terutama di barat Johor, Selangor dan Perak. Dipercayai, tempat yang mula- mula  diduduki adalah di kawasan Padang, Parit Jawa, Muar.
Orang Jawa berhijrah ke Tanah Melayu pada awal abad ke-20 untuk bekerja sebagai buruh di ladang kopi, ladang getah dan juga di lombong - lombong bijih timah. Kedatangan mereka ke Tanah Melayu bukan sahaja untuk bekerja di ladang tetapi juga dipengaruhi oleh faktor ekonomi, politik dan sosial.
Menurut Wikipedia , kebanyakan imigran Jawa yang datang ke Tanah Melayu berasal dari beberapa buah daerah di Pulau Jawa seperti di Jawa Barat, Jawa Tengah dan Jawa Timur seperti dari kawasan Madiun,Ponogoro, Kudrejo, Lebumin, Demek dan Magelan.
Sejarah mengatakan bahawa,imigran Jawa berhijrah ke beberapa pulau lain sebelum datang ke Tanah Melayu. Antara pulau yang menjadi kawasan petempatan mereka ialah Singapura dan Palembang.
Etnik Jawa era 60-an menggunakan nama yang agak unik seperti Suparji, Wagiman, Supendi, Masjoyo, Mulio, Karto, dan  Toliban untuk kaum lelaki dan nama seperti Supinah,Tukijah, Jumiton, dan Tukiyem untuk kaum perempuan. Mereka juga sering menggunakan nama gelaran seperti Man Ganden,  Amat Ireng, Leman Gundol, Mbah Lanang dan Nyai Cilik. Namun nama dan gelaran itu kini tidak digunapakai lagi seiring dengan peredaran zaman.


STRUKTUR MASYARAKAT JAWA
Menurut Clifford Geertz (The Religion of Jawa;1956) masyarakat Jawa asli di dikelaskan kepada tiga kelas utama iaitu abangan, santri dan priyayi.
Namun, dalam masyarakat Jawa di Malaysia, kelas sosial tidak dititikberatkan. Ini kerana kebanyakan masyarakat Jawa di Malaysia telah mengasimilasikan kehidupan  dengan masyarakat lain. Dalam menjalani kehidupan seharian, masyarakat Jawa mempunyai beberapa sistem. Kehidupan mereka diketuai oleh seorang ketua. Ketua memainkan peranan yang penting dalam menjalani kehidupan demi menjamin kerukunan masyarakat Jawa. 
Ketua  masyarakat Jawa ialah Lurah dan Kiai. Lurah merupakan penghulu dalam masyarakat Jawa . Ia mempunyai tanggungjawab dan memikul amanah yang besar bagi memastikan keselesaan penduduk kampung. Lazimnya pemilihan Lurah adalah berdasarkan kebolehan,pengalaman, keturunan dan pengetahuan dalam agama..Jawatan Lurah kebiasaannya akan disandang  selagi diterima oleh penduduk kampung.  Jawatan Lurah akan dibantu oleh beberapa orang pembantu untuk memudahkan urusan pentadbiran. Selain menjaga keselamatan kampung, Lurah menjadi ketua  ketika aktiviti gotong-royong dan aktiviti kemasyarakatan yang lain.
Selain  Lurah, terdapat juga jawatan Kiai atau Siak. Kiai dilantik dalam kalangan kaum lelaki yang berpengetahuan dalam bidang agama dan soal kemasyarakatan. Kiai bertanggungjawab untuk menjadi imam dalam sembahyang berjemaah.  Kiai juga bertanggungjawab mengetua majlis kenduri doa selamat dan semua majlis keagamaan. Seorang Kiai perlu lengkap dengan ilmu agama dalam memberi petunjuk kepada masyarakat.
Dalam hal kematian, Kiai berperanan sebagai imam untuk sembahyang jenazah. Ini adalah sebagai tanda penghormatan ke atas Kiai yang memainkan peranan yang cukup penting dalam adat  kematian.


KEPERCAYAAN MASYARAKAT JAWA
Kaum Jawa di Malaysia menganut agama Islam. Mereka mengamalkan pelbagai kepercayaan yang diwarisi sejak turun – temurun. Ada kepercayaan yang masih diamalkan sehingga hari ini dan ada yang telah hilang ditelan zaman.
Masyarakat Jawa bermazhabkan Sya’fie dengan memegang teguh lima rukun Iman dan mempercayai enam rukun Islam. Dua rukun inilah yang menjadi landasan kepercayaan mereka untuk menjadi seorang Islam yang sempurna di sisi Allah SWT. mereka amat mementingkan aspek persaudaraan selari dengan ajaran agama Islam.Oleh itu, masyarakat Jawa adalah saudara kepada masyarakat Islam yang lain..
Terdapat segelintir masyarakat Jawa yang mengamalkan amalan animisme. Ia berkaitan kepercayaan terhadap makhluk halus dan semangat sesuatu tempat. Mereka mempercayai sesuatu tempat menjadi kediaman makhluk halus sehingga ada yang menganggap tempat itu keramat.
Terdapat juga sebilangan warga emas masyarakat Jawa yang mempercayai tentang semangat di tempat yang baru. Sekiranya semangat tersebut hilang atau diganggu gugat seperti membersihkan kawasan, dipercayai akan menyebabkanseseorang itu mendapat penyakit. Oleh itu, mereka perlu membuat beberapa semahan atau menjamu dengan bertih supaya semangat  tersebut pulih seperti sedia kala.
Selain itu, masyarakat Jawa juga mempercayai beberapa objek yang mempunyai kuasa seperti busut, batu-batu besar atau pokok-pokok besar. Kuasa ini dikatakan mampu memberi kesan kepada mereka yang mengusik atau melakukan perkara yang tidak senonoh kepada objek tersebut. Justeru itulah ramai dalam kalangan tersebut mengambil peluang dengan menjadikan busut, batu atau pokok besar sebagai objek yang boleh mendatangkan keuntungan seperti tikam nombor ekor.
Di samping itu, bagi orang Jawa Kejawen pula, mereka  mempercayai  pelbagai jenis roh yang tidak kelihatan yang dapat   menimbulkan bahaya seperti kecelakaan atau penyakit. Untuk melindungi semuanya itu, mereka memberi upah yang terdiri dari nasi dan aneka makanan, daun-daun bunga serta kemenyan.
Orang Jawa Kejawen juga suka melakukan kegiatan keagamaan.contohnya seperti puasa. Mereka  berpuasa pada hari-hari tertentu misalnya Isnin dan Khamis atau pada hari lahir. Semuanya itu berasal daripada ajaran tarikat ynag mereka anuti.
 Sungguhpun demikian, amalan dan kepercayaan animisme ini semakin hilang ditelan zaman kerana Islam menegaskan amalan ini dianggap sebagai perbuatan syirik dan bertentangan dengan agama.
Masyarakat Jawa juga mempercayai bahawa  hari Jumaat adalah hari  yang terbaik atau penghulu segala hari. Jumaat keliwon merupakan  hari yang terbaik untuk beramal dan menuntut pelbagai ilmu. Menurut masyarakat Jawa, antara keistimewaan malam Jumaat keliwon adalah sekiranya hujan turun, air hujan tersebut perlu ditadah di halaman rumah dan air itu amat mujarab untuk dibuat air penerang hati. Malam Jumaat Keliwon juga dimanfaatkan oleh orang yang mengamalkan ilmu sesat akan menguji ilmunya buat pertama kali..
Selain itu masyarakat Jawa juga mempercayai bahawasanya jika sekiranya ada orang yang meninggal dunia pada hari Jumaat Keliwon, kuburnya terpaksa dijaga siang dan malam sehingga genap 40 hari kerana takut digali semula oleh golongan yang tidak bertanggungjawab untuk diambil lidahnya, kain kafan dan sebagainya untuk dijadikan tangkal untuk membuat perkara yang dilarang oleh AllahSWT seperti merompak, sihir dan lain-lain kepercayaan khurafat. 

ADAT RESAM  MASYARAKAT JAWA
Adat secara umumnya didefinisikan sebagai suatu aturan, tingkahlaku, kepercayaan  dan cara hidup. Ianya dilakukan setiap hari atau mengikut musim sama ada mengikut bulan mahupun tahun. Adat yang dilakukan akhirnya menjadi suatu  kebiasaan yang diulangi dan akhirnya dipraktikkan turun- temurun.  Perkataan lain yang sinonim dengan adat ialah budaya. Adat dan budaya merupakan suatu konsep yang saling bergantung.
Adat bersifat maya iaitu tidak dapat dilihat. Ia timbul daripada suatu pemikiran berkenaan cara hidup dan tidak dizahirkan. Apabila ianya dizahirkan dan dapat dilihat pelaksanaannya, misalnya adat bersanding, adat meminang dan sebagainya, ia sudah menjadi suatu budaya. Ia membawa maksud budaya merupakan suatu bentuk perlakuan yang mencerminkan adat sesuatu masyarakat.
Budaya bersifat tidak tetap dan boleh berubah mengikut peredaran masa dan kesesuaian . Justeru wujud pengkelasan budaya tradisional dan budaya moden. Adat pula ialah suatu ketetapan yang tidak boleh berubah. Oleh hal yang demikian bolehlah dikatakan bahawa adat ialah budaya yang asal.Resam pula ialah lembaga, peraturan, hukum , norma yang dijunjung oleh kelompok masyarakat.
Adat resam merupakan suatu peraturan yang sudah diamalkan sejak turun – temurun dalam sesebuah masyarakat sehingga menjadi peraturan dan hukum yang mesti dipatuhi. Adat resam merupakan suatu cara hidup yang diwarisi.
Masyarakat  Malaysia yang terdiri daripada berbilang bangsa, mengamalkan adat resam mereka yang tersendiri. Adat ini merangkumi semua aspek kehidupan bermula daripada kelahiran, kehidupan sehinggalah kematian.
Masyarakat Jawa mengamalkan adat resam yang cukup unik. Bermula dari dalam kandungan , mereka mengamalkan adat yang tersendiri.  Untuk memahami secara lebih mendalam  adat resam  masyarakat Jawa, adalah lebih mudah sekiranya kita membicarakannya satu persatu. Antara adat resam yang masih diamalkan   ialah:


Lenggang perut
Jagongan
Bengkongan
Puputan / Cukur jambul
Among – among/ Pijak tanah
Sunatan/ Berkhatan
Merisik
Mantu / Perkahwinan
Baraan/ Ziarah raya
Rewang/ Gotong- royong
Nasi ambeng/ ambang

Lenggang Perut
Adat lenggang perut juga dikenali sebagai tingkepan atau mitoni. Ia dijalankan khusus untuk  seseorang wanita yang hamil buat kali pertama. Upacara ini dijalankan ketika kehamilannya memasuki tujuh bulan . Tujuan upacara ini dijalankan ialah untuk memohon keselamatan ibu dan juga bayi yang bakal dilahirkan.
Masyarakat Jawa percaya janin yang berusia tujuh bulan mempunyai roh yang perlu dijaga dan diraikan. Anak pertama dikatakan membawa tuah bukan sahaja kepada keluarga malah kepada adik – adiknya yang bakal dilahirkan kemudian. Upacara ini dikendalikan oleh Mak Bidan yang bakal menyambut kelahiran bayi tersebut. Bakal ibu terpaksa melalui beberapa peringkat upacara.
Bakal ibu yang sedang hamil akan dimandikan dengan air pelbagai jenis bunga diiringi dengan doa yang dibacakan oleh Mak Bidan. Seterusnya si suami akan memasukkan sebutir telur ayam kampung ke dalam kain isterinya. Telur tersebut dibiarkan jatuh dan pecah. Ia merupakan simbolik tanda bayi akan lahir dengan lancar tanpa sebarang halangan. Ada juga sesetengah masyarakat jawa yang mengkehendaki si suami membelah buah kelapa muda. Sekiranya belahan buah kelapa betul – betul di tengah , mereka akan mendapat anak lelaki. Sebaliknya sekiranya belahan buah kelapa tersebut senget maka mereka dikatakan bakal menerima anak perempuan.
Para tetamu upacara lenggang perut  biasanya dihidangkan dengan nasi ambeng. Ketika penyediaan dijalankan, peladen  atau pelayan dimestikan mengambil dulang yang berisi nasi ambeng secara satu arah. Mereka ditegah berjalan bolak- balik melawan arah. Ia untuk mengelakkan bayi yang bakal dilahirkan keluar secara songsang.

Menanam Uri
Selepas seseorang bayi dilahirkan, Mak Bidan akan mencuci dan membersihkan uri dengan campuran asam beserta sedikit garam.  Kemudian,  uri akan ditanam di bawah rumah atau persekitaran rumah.
Si ayah, akan ditugaskan menanam uri. Uri bayi perempuan akan ditanam berserta celak, pensil , dan jarum.  Mereka berharap agar anak yang akan membesar  nanti menjadi seorang yang cantik, pandai dalam pelajaran dan pandai menjahit baju.  Uri bayi lelaki pula ditanam berserta pensil, paku dan jarum dengan harapan apabila dewasa nanti mereka akan menjadi seorang yang pandai dan gagah.
Pada waktu malam, tempat uri ditanam akan dilengkapi pelita. Selain mengelak daripada dikorek oleh binatang , mereka juga berharap agar si bayi tidak diganggu oleh kuasa jahat. Sedikit  tanah dari tempat uri ditanam akan diambil lalu dibungkus di dalam sehelai kain putih. Bungkusan tersebut kemudiannya diletakkan di bawah tempat tidur atau buai si bayi. Masyarakat Jawa beranggapan ianya dapat menemani si bayi kerana setiap bayi dilahirkan bersama kawan atau “bathor”.

Jagongan
Jagong dalam bahasa Jawa bermaksud duduk. Adat jagongan mudah dimengertikan sebagai ziarah sambil duduk – duduk. Ada juga yang mengenali adat ini dengan nama “muyi”.
Pada hari pertama hingga ke tujuh kelahiran, jiran tetangga dan saudara – mara akan datang menziarahi keluarga bayi. Biasanya kaum perempuan akan datang berziarah pada siang hari manakala bagi kaum lelaki,  mereka akan datang pada waktu malam. Ketika berziarah mereka akan dihidangkan dengan kuih-kuih tradisional seperti rempeyek dan rengginang.
Tujuan mereka berziarah ialah menemani si ibu dan bayinya. Pada pandangan masyarakat Jawa,  si ibu yang baru melahirkan lemah semangatnya  manakala si bayi mudah disampuk oleh sesuatu kuasa jahat.

Bengkungan
Bengkung ialah sejenis tali pinggang yang dipakai selepas melahirkan bayi. Bengkung diperbuat daripada kain yang lembut sepanjang 6 hingga 7 meter. Untuk memudahkan cara pemakaiannya, kain bengkung biasanya akan diikatkan pada sesuatu seperti tiang. Si pemakai akan melilitkan bengkung tersebut pada bahagian bawah dada sehingga paha agar rahim mudah sembuh, perut tidak menggelebeh dan ponggong tidak jatuh. Pada masa kini walaupun terdapat bengkung moden yang lebih mudah dan murah namun masih ada lagi sebilangan kaum perempuan yang menggunakan kaedah tradisional demi mengekalkan adat dan budaya.

Puputan / Potong Jambul
Upacara potong jambul biasanya dijalankan selepas 40 hari bayi dilahirkan atau selepas si ibu habis tempoh berpantang.  Jiran tetangga dan saudara – mara dijemput untuk majlis doa selamat. Ketika ini mereka akan membaca berzanji beramai-ramai.  Selesai bacaan berzanji bayi akan dibawa keluar. Beberapa orang tetamu yang terdiri daripada Pak Imam dan mereka yang dikenali sebagai orang alim akan memotong sedikit jambul sambil membaca sedikit doa agar bayi tersebut membesar penuh keberkatan. Ada juga kalangan bayi yang dicukur sehingga botak licin. Rambut tersebut akan dimasukkan di dalam kelapa lalu ditanam di sekitar rumah.
Pada ketika ini , tuan rumah biasanya akan mengagihkan bunga telur dan bunga rampai kepada para tetamu. Supaya lebih tahan lama telur tersebut biasanya dimasak pindang. Ada juga yang menabur beras berserta sejumlah duit syiling di ruang tamu sebaik sahaja majlis potong jambul tersebut selesai sebagai simbol apabila dewasa nati anak tersebut dimurahkan rezeki  dan mudah mendapat makanan(beras) dan kaya (duit)

Among- Among
Among – among diadakan setiap tahun sejak bayi dilahirkan sehinggalah bayi tersebut fasih bercakap. Ketika menyambut setahun kelahiran, biasanya si anak akan dimasakkan seekor ayam ingkong. Ayam yang hendak disembelih mestilah ayam jantan yang tidak terlalu tua iaitu “ayam lancor”. Si anak anak diberi bahagian paha dan pada ketika ini mereka akan menjalani upacara pijak tanah.
 Para tetamu yang terdiri daripada jiran tetangga dan saudara –mara akan dihidangkan dengan nasi keluban yang dihidangkan di dalam dulang.  Keluban ialah sejenis lauk yang terdiri daripada  campuran sayuran seperti daun pucuk ubi, tauge atau capar, kacang panjang dan kerabu kelapa.
Si anak yang diraikan pula akan dihidangkan dengan bubur abang. Bubur abang diperbuat daripada beras atau pulut yang dimasak sehingga  lembut dan diwarnakan dengan warna merah. Bubur abang merupakan tradisi wajib masyarakat Jawa kerana ia melambangkan kesyukuran. Adat ini masih dipraktikan oleh sebahagian penduduk lama di kampung saya.

Sunatan / Berkhatan
Pada masa kini , ramai masyarakat Jawa yang menghantar anak  mereka ke klinik untuk bersunat kerana ianya lebih selamat berbanding cara tradisional. Namun terdapat juga sebilangan kecil yang memilih untuk  menjalani upacara sunatan secara tradisional iaitu dengan menggunakan khidmat Tok Mudim.
Sebelum upacara sunat dijalankan, kanak-kanak lelaki diminta berendam di dalam kolam atau parit. Kanak- kanak tersebut diminta duduk di atas batang pisang ketika Tok Mudim menjalankan tugas. Sambil menghidu buah limau purut, beberapa orang  ahli keluarga termasuk si ayah akan menemani sambil memberikan semangat.
Kanak-kanak yang baru bersunat terpaksa menjalani tempoh pantang yang agak panjang . Kadangkala mereka hanya diberi makan nasi berlaukkan bilis masak kicap sahaja sehingga mereka benar – benar sembuh.
Masyarakat Jawa  akan menjemput jiran tetangga,  sanak – saaudara dan rakan taulan untuk menghadiri majlis meraikan anak mereka. Biasanya majlis keraian diadakan serentak dengan majlis Khatam Al Quran.

Baraan/ Ziarah Beramai - ramai
Masyarakat Jawa masih mengamalkan semangat kekeluargaan dan  kemasyarakatan yang tinggi. Budaya ziarah-menziarahi  secara beramai-ramai atau dikenali sebagai “baraan” masih diamalkan terutamanya ketika menyambut Hari Raya Aidil Fitri. Ketika majlis baraan mereka akan berselawat bersama –sama dan bermaaf- maafan. Ketika baraan, mereka akan dihidangkan dengan pelbagai juadah. Antara menu popular masyarakat Jawa pada pagi Hari Raya ialah ketupat nasi, rendang ayam, serunding kelapa, sambal goreng tempe, sambal tumis petai, ayam masak pecal dan gado – gado .

Nasi Ambeng
Masyarakat Jawa menyediakan nasi ambeng untuk tetamu yang datang dalam majlis kenduri doa selamat . Nasi  berserta lauk  diletakkan di dalam sebuah dulang besar dan dimakan oleh seramai empat atau lima orang. Nasi yang tidak habis dimakan akan dibungkus. Nasi yang dibungkus dan dibawa balik sebagai buah tangan ini dikenali sebagai “nasi berkat”. Antara lauk nasi ambeng yang popular dalam masyarakat Jawa ialah ayam masak ingkong, mi goreng, serunding kelapa dan sambal goreng tempe.

KEBUDAYAAN MASYARAKAT JAWA
Etnik Jawa mempunyai kebudayaan yang tersendiri. Antara kebudayaan yang menjadi kebanggaan mereka ialah kuda kepang, wayang kulit, barongan, reoq dan ludrok. Kebanyakan kebudayaan ini  berasal Indonesia dan terdapat juga pengaruh Hindu.
Kuda kepang berasal dari Indonesia. Ia dipercayai dibawa oleh kumpulan Wali Songo ketika menyebarkan agama Islam. Mereka bermain  kuda kepang untuk menarik minat  orang ramai mendekati Islam. Masyarakat Jawa mempersembahkan kuda kepang ketika majlis keramaian. Kuda kepang popular di Batu Pahat meliputi kawasan Parit Raja, Seri Medan dan Senggarang.
Barongan juga merupakan seni masyarakat Jawa . Ia mengisahkan zaman Nabi Sulaiman AS yang boleh bertutur dengan haiwan. Antara kumpulan barongan yang masih aktif ialah Kumpulan Barongan Seri Wahyuni yang berasal dari Parit Bingan , Parit Raja. Ia dipercayai dibawa oleh hamba abdi yang da[potang dari Riau Lingga.
Wayang kulit Jawa merupakan persembahan kebudayaan yang semakin terpinggir. Kini hanya tinggal beberapa buah kumpulan sahaja masih memperjuangkan kesenian ini.
Reoq merupakan kesenian pecahan daripada Persembahan Barongan. Antara kumpulan yang masih aktif menampilkan persembahan ini ialah Kumpulan Setia Budi, Parit Nipah, Parit Raja.

PERSPEKTIF JANTINA
Dalam masyarakat Jawa, sejak dari kecil anak-anak lelaki dan perempuan dilayan secara berbeza. Anak lelaki disuruh bersikap sebagai seorang lelaki yang sejati manakala anak perempuan sentiasa diingatkan agar menjaga sopan-santun.
Anak lelaki tidak digalakkan menunjukkan sikap emosi manakala anak perempuan ditegah daripada bersikap agresif.  Anak lelaki akan diajak membantu tugas bapa seperti berkebun ataupun bertukang manakala anak perempuan diajar membantu ibu membuat kerja rumah seperti mengemas, memasak dan sebagainya.
Dalam masyarakat Jawa, kaum lelaki dianggap sebagai sumber kekuatan dalam sesebuah masyarakat. Jawatan ketua masyarakat seperti  pelantikan Pak Lurah mesti disandang oleh orang lelaki. Mengikut kepercayaan ,orang lelaki  bersikap lebih matang dan tidak mengikut perasaan berbanding kaum perempuan.  Jiwa seorang perempuan yang sensitif akan menyebabkan mereka menjadi emosional  dalam membuat sesuatu keputusan.
Sifat kaum lelaki yang lebih kuat juga menjadikan mereka orang yang sangat penting dan dilantik sebagai ketua keluarga.  Kekuatan sifat fizikal dengan susuk badan yang sasa mekar, gagah, maskulin keras dan perkasa menjadi penyumbang penting dalam menjalankan tugas sebagai pencari rezeki. Mereka  menyara keluarga dan menjaga segala kebajikan dan keselamatan keluarganya. 
Lelaki kaum Jawa kelihatan tegas dari luaran tetapi sebenarnya lembut dari dalam. Mereka tidak akan memarahi anak mereka secara terbuka sebaliknya melalui isterinya. Hanya melalui pandangan atau jelingan mata sudah mampu menyampaikan mesej kepada anak – anak.
Perempuan kaum Jawa pula bersikap penuh lemah – lembut dan kasih – sayang terhadap suami dan anak-anak mereka. Oleh itu anak-anak mudah mesra dan manja kepada ibu berbanding ayah.  Seorang isteri amat taat akan suami. Mereka  bukan sahaja taat malahan memuliakan suami.
Isteri merupakan tulang belakang suami untuk menguruskan rumah tangga. Sikap mereka yang lemah – lembut dan penuh sopan – santun amat sesuai dengan tugas mengurus rumah tangga termasuk mencuci, memasak serta mengemas rumah.
Wanita Jawa dikaitkan dengan sifat berkorban yang tinggi. Mereka sanggup berkorban apa sahaja demi  memelihara kebajikan dan maruah keluarga mereka. Mereka akan menunggu suami pulang dari bekerja dengan sabar. Setelah suami pulang, mereka akan dilayan dengan penuh kasih-sayang.
Pepatah Jawa ada menyatakan bahawa “Syurga terletak di bawah kaki suami”. Tiada gunanya walau setinggi manapun amalan yang dilakukan oleh seseorang isteri jika mereka tidak patuh atau mengabaikan tanggungjawab terhadap suami dan anak- anak. Apatah lagi kalau mereka ingkar atau derhaka kepada suami.

SUMBER: http://hissham66.blogspot.com/2012/08/kajian-etnik-jawa-di-malaysia.html


No comments:

Post a Comment